fb fb fb fb fb

Pulau Pinang rancang tangguh kenaikan tarif air

Foto hiasan

GEORGE TOWN, 8 Julai -Pulau Pinang merancang menangguhkan kenaikan tarif air sekurang-kurangnya sehingga enam bulan sekiranya kadar baharu itu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, langkah tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara tanpa beban kewangan yang mendadak.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, penangguhan itu dijangka memberi implikasi kewangan sebanyak RM40 juta.

“Kerajaan negeri akan menangguhkan pelaksanaan tarif baharu ini dan sekiranya ia diluluskan Kabinet, kami mahu ia dilaksanakan bukan tahun ini, tetapi pertengahan tahun hadapan.

Oleh itu, kita perlu mengurus perkara ini dengan bijak agar terdapat keseimbangan antara kadar tarif air dan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Sukuk dan Kerangka Kewangan Mampan PBAPP, di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan.

Pada majlis tersebut, PBAPP menandatangani sukuk wakalah berjumlah RM5 bilion serta kerangka kewangan mampan, yang turut menerima penarafan kredit tertinggi daripada RAM Rating Services Berhad (RAM).

Hasil penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk menyokong Pelan Kontigensi Air 2030 (WCP 2030) PBAPP serta mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman dan geran kerajaan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN