KUALA LUMPUR, 8 Julai -Peningkatan minat kuasa-kuasa besar dunia terhadap Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) disifatkan suatu perkembangan yang amat memberangsangkan bagi rantau ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan, China secara terbuka menyatakan sokongan terhadap SEANWFZ tanpa syarat.
“Malah dua hingga tiga buah negara juga turut menghubungi Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini.
Negara-negara tersebut menyatakan hasrat untuk menyambung kembali perbincangan yang sebelum ini tertangguh berkaitan perjanjian tersebut," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ, di sini.
Dalam mesyuarat sama, Malaysia dan negara-negara ASEAN turut bersetuju menerima kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu SEANWFZ.
Penyertaan rasmi negara itu akan dimuktamadkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini.
Datuk Seri Mohamad turut menekankan keperluan untuk memperkemas modus operandi SEANWFZ agar ia menjadi lebih kukuh dan berkesan.
“Kita mahu supaya negara-negara ASEAN dalam SEANWFZ ini juga menjalinkan hubungan erat dengan blok bukan nuklear.
Usaha kolektif penting dalam memastikan dunia bebas daripada ancaman senjata nuklear," tegasnya lagi.
Beliau turut menyuarakan harapan agar negara-negara terlibat dapat mencapai kata sepakat melalui rundingan yang berterusan.
Sekali gus, memperkukuh kerjasama serantau dalam memastikan Asia Tenggara kekal sebagai zon bebas senjata nuklear dan menyumbang ke arah keamanan sejagat.