KUALA LUMPUR, 8 Julai - Sebanyak 35 projek melibatkan seni, warisan dan komuniti menerima sokongan menerusi Dana Geran Kreatif Kuala Lumpur dan Geran Komuniti Merdeka 118 bagi tahun 2025.
Daripada jumlah itu, 14 projek disokong melalui Dana Geran Kreatif KL dengan peruntukan RM1.5 juta. Manakala 21 lagi dipilih di bawah Geran Komuniti Merdeka 118, dengan tumpuan kepada kawasan “nadi warisan bandar”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kedua-dua geran ini membawa pendekatan baharu yang menggabungkan nilai budaya dengan impak sosial dan ekonomi, selaras misi diplomasi bandar.
"Kita beri tumpuan kepada koridor sejarah Pudu, Kampung Attap, Petaling Street, Bukit Bintang dan mungkin juga Jalan Tuanku Abdul Rahman yang bukan hanya penting kepada rakyat tempatan, malah juga kepada pelancong-pelancong yang datang ke Kuala Lumpur. Sudah pasti, apa yang mereka lihat di kawasan-kawasan ini nanti, akan membentuk tanggapan awal mereka terhadap negara kita," katanya.
Tambah beliau, pemulihan wajah Kuala Lumpur tidak hanya bergantung pada pencakar langit, tetapi melalui keterlibatan rakyat dan kekuatan komuniti.
"Sebuah bandar unggul bukan hanya dibentuk oleh pencakar langit dan infrastruktur moden, tetapi melalui rasa kepunyaan dan keterlibatan rakyatnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Geran Kreatif Kuala Lumpur dan Geran Komuniti Merdeka 118 Tahun 2025 di ibu negara.