fb fb fb fb fb

Paras air di semua empangan Pulau Pinang stabil, di tahap 50 peratus

GEORGE TOWN, 8 Julai -Paras air di kesemua tiga empangan utama di Pulau Pinang berada pada tahap 50 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir K. Pathmanathan berkata, jumlah air di semua empangan tersebut mampu bertahan sehingga September.

"Kita masih terus menjalankan proses pengambilan air dari Sungai Muda tanpa sebarang masalah dan paras air adalah baik.

Loji rawatan air kita juga beroperasi sepenuhnya pada kapasiti 100 peratus. Oleh itu, tidak sepatutnya ada sebarang isu bekalan air sekurang-kurangnya hingga bulan September," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Menandatangani Sukuk dan Kerangka Kewangan Mampan PBAPP di sini.

Ujarnya lagi, pengeluaran semasa di Sungai Dua, adalah sekitar 1,190 juta liter sehari.

"Kadangkala, semasa musim kering yang berpanjangan, penggunaan mungkin meningkat terlalu tinggi dan mungkin pada waktu puncak, sesetengah pengguna akan mengalami tekanan air rendah.

Selain daripada itu, tiada isu besar yang berlaku," jelasnya.

Monsun Barat Daya yang bermula pada Mei hingga September depan berisiko membawa cuaca panas melampau.

Kemuncaknya dijangka berlaku antara Julai hingga September.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN