fb fb fb fb fb

Kukuh rangka kerja keselamatan serantau, antarabangsa cegah penggunaan senjata nuklear

Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 8 Julai -ASEAN menekankan keperluan memperkukuh rangka rangka kerja keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa bagi mencegah kesan penggunaan senjata nuklear.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keperluan mendesak itu susulan landskap keselamatan global yang semakin tidak menentu dan membimbangkan.

"Kepercayaan antara kuasa-kuasa nuklear, ditambah dengan pemodenan persenjataan mereka, membayangkan kemunculan semula senjata nuklear yang lebih canggih dan berbahaya.

"Teknologi baharu seperti peperangan siber, pengkomputeran kuantum dan kecerdasan buatan (AI) telah menambahkan lagi kerumitan terhadap landskap keselamatan global," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pembukaan Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.

Integrasi teknologi dalam sistem ketenteraan strategik menjadikan dunia lebih terdedah kepada penambahan konflik.

"Gabungan antara zaman nuklear dan era maklumat telah menjadikan senjata nuklear jauh lebih berbahaya daripada sebelumnya.

"Keadaan ini diburukkan lagi apabila mekanisme sedia ada untuk pelucutan senjata nuklear dilihat semakin gagal mencapai objektifnya," katanya lagi.

Retorik kuasa-kuasa nuklear kini menggugat usaha pelucutan senjata yang telah dibina sejak berdekad lamanya.

"Di Ukraine, peperangan yang berpanjangan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik nuklear, dengan retorik kuasa nuklear yang menggugat usaha perlucutan senjata selama berdekad lamanya.

"Di Asia Barat, ketidakstabilan serantau semakin memburuk dengan serangan tidak berasas oleh Israel terhadap Iran," katanya.

Tindakan itu juga disifatkan sebagai satu pencabulan undang-undang antarabangsa dan provokasi terbuka yang boleh mencetuskan perang berskala besar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI