SEPANG, 8 Julai -Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) komited perkukuh organisasi sekali gus tangani isu berkaitan kebocoran dan ketirisan di pintu-pintu masuk negara.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, fokus utama adalah untuk menyatukan barisan pegawai pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu pasukan yang beroperasi bawah satu sistem operasi piawai (SOP) yang seragam.
"Cabaran pertama saya ialah membina satu keluarga yang sihat dan berfungsi dengan baik. Setiap pegawai datang dari agensi berbeza, dengan budaya kerja yang berbeza.
"Kita perlu ada pendekatan profesional, budaya integriti dan kesatuan misi agar kita benar-benar menjadi AKPS," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini.
Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata AKPS kini bertanggungjawab ke atas 22 pintu masuk negara dalam fasa pertama dan sedang menyusun strategi pengambilan komander serta pemantapan SOP operasi.
Skop tugas AKPS adalah berdasarkan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2017 (Akta 860) yang memperuntukkan bidang kuasa agensi di lokasi-lokasi pintu masuk rasmi negara yang telah diwartakan.
"Buat masa ini, keutamaan saya adalah untuk memperkukuhkan kawalan dan keberkesanan operasi di tempat-tempat yang telah diwartakan dahulu, sebelum kita perluaskan kepada elemen risikan atau tindakan pencegahan di luar kawasan tersebut," katanya lagi.
Segala operasi di luar kawasan yang belum diwartakan masih berada di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan sedia ada.
Datuk Seri Mohd Shuhaily menegaskan bahawa beliau tiada kompromi terhadap isu integriti dan penyelewengan dalam kalangan anggota AKPS.
Beliau juga mempertimbang cadangan prosedur pengambilan dan penamatan kerja yang lebih ketat sebagai langkah pencegahan.
"Apabila kita satukan banyak agensi, kuasa yang ada jadi lebih luas. Itu membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa sekiranya kita tidak berhati-hati. Saya tekankan integriti sebagai asas utama," tegasnya.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan ke pintu-pintu masuk utama negara dalam usaha AKPS memperkukuhkan kawalan sempadan negara secara menyeluruh dan menyemai budaya kerja integriti, profesional serta bersepadu di semua peringkat.
Beliau turut ditemani Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Tuan Haji Ismail dan pegawai kanan agensi lain dalam lawatan tersebut yang turut meliputi pemeriksaan fasiliti dan operasi bahagian kargo KLIA.