SEPANG, 6 JUN - Langkah penstrukturan semula pekerja Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kebanyakkannya melibatkan pekerja kontrak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan demikian secara ringkas selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra.
“Ya, banyak yang kontrak,” kata Perdana Menteri ketika diminta mengulas mengenai langkah penstrukturan semula syarikat minyak negara itu dengan menjangkakan kira-kira lebih 5,000 pekerja akan terbabit atau kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan kakitangan
Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, dalam satu taklimat di ibu negara, memaklumkan penyusunan semula tenaga kerja syarikat itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun depan.
Beliau turut memberi gambaran bahwa kakitangan peringkat tinggi akan diberhentikan termasuk pekerja kontrak manakala pekerja baharu tidak terbabit.
Jelasnya, langkah itu bertujuan memastikan struktur organisasi yang lebih kecil dan tangkas kerana ketika ini terdapat lebihan tenaga kerja di beberapa peringkat.
Pengurangan tenaga kerja tersebut dilihat sebagai langkah strategik Petronas dalam menghadapi cabaran industri minyak dan gas global serta penyesuaian kepada perubahan pasaran tenaga.
Petronas antara banyak syarikat minyak dunia telah mengumumkan pengurangan pekerja terutama disebabkan kejatuhan harga minyak dan persaingan sengit di peringkat global.