KANGAR, 6 Jun - Seramai 320 peserta terdiri daripada anak asnaf Perlis yang belajar di 3 buah politeknik, bakal menyertai Ai Summer Camp se-Malaysia yang dijadualkan bermula bulan hadapan.
Program dilaksanakan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) dengan kerjasama Institut Informatik Visual UKM dan Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin, inisiatif ini bagi memperkasa anak asnaf Perlis dalam bidang kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi permintaan, terutama dalam sektor pekerjaan.
"Program ini merupakan inisiatif serta langkah untuk mengubah hidup pelajar-pelajar yang terlibat agar dapat keluar daripada golongan asnaf selepas mendapat pekerjaan.
"Ia juga diharap dapat menjadi pemangkin untuk membekalkan tenaga kerja mahir AI sesuai kehendak pasaran semasa." katanya.
Program ditawarkan secara percuma dan akan dilaksanakan semasa cuti semester Politeknik selama 5 hari setiap siri.
Perasmian program bakal disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 4 Julai 2025, bertempat di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh.
Program melibatkan para pelahar dari 3 buah Politeknik iaitu Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Bagan Datuk dan Politeknik Kota Baharu.