fb fb fb fb fb

KPDN Kelantan tahan wanita jual beg tangan tiruan dalam talian

Wanita disyaki menjual beg tangan tiruan melalui media sosial

KOTA BHARU, 6 Jun - Seorang wanita ditahan kerana disyaki menjual beg tangan tiruan melalui media sosial di sebuah premis di Kampung To’ Deh, Rantau Panjang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata wanita berkenaan ditahan dalam satu operasi bersepadu penguat kuasa KPDN Pasir Mas bersama pemilik cap dagang pada 10 pagi.

“Kami merampas 114 unit beg tangan wanita disyaki tiruan berjenama dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM2,280 dan menahan seorang wanita bagi membantu siasatan.

"Premis tersebut dipercayai digunakan untuk penjualan barangan tiruan secara dalam talian melalui siaran langsung di platform media sosial TikTok," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagang 2019, iaitu memiliki dan mengawal barangan yang dipakaikan cap dagangan berdaftar secara salah bagi tujuan perdagangan.

Beliau berkata KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau pihak yang masih berdegil memperdagangkan barangan tiruan dan tindakan tegas boleh diambil tanpa kompromi demi melindungi hak pemilik cap dagang dan pengguna. - BERNAMA

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN