fb fb fb fb fb

Malaysia kecam tindakan Israel rampas kuasa pentadbiran Masjid Ibrahim

Lagi bentuk kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin / Foto

KUALA LUMPUR, 26 Julai - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang merampas kuasa pentadbiran Masjid Ibrahim (Ibrahimi Mosque) di Hebron (al-Khalil), Palestin daripada pihak Majlis Perbandaran Hebron dan menyerahkannya kepada Majlis Agama Kiryat Arba - sebuah entiti penempatan haram Israel.

Dalam satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata, langkah provokatif itu mencabuli prinsip undang-undang antarabangsa dan ketetapan UNESCO yang telah mengiktiraf Masjid Ibrahim sebagai tapak warisan dunia sejak tahun 2017. 

Masjid Ibrahim merupakan antara tempat suci dan bersejarah bagi umat Islam seluruh dunia.  

Justeru, umat Islam di negara ini memandang serius perkembangan itu sebagai satu lagi bentuk kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin dan warisan umat Islam sejagat.

Dalam masa sama, ujarnya, beliau turut mengalu-alukan ketegasan yang ditunjukkan oleh negara-negara seperti Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Pihaknya juga menyokong penuh gesaan Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin agar dunia antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agar segera mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan usaha haram tersebut.

Ketegasan yang ditunjukkan oleh negara-negara seperti Turki dan UAE dalam mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan itu juga amat dialu-alukan.

Sementara itu, Malaysia menyeru seluruh umat Islam di dunia untuk terus menyuarakan bantahan, berdoa serta menyumbang kepada usaha mempertahankan Masjid Ibrahim dan seluruh bumi Palestin daripada cengkaman penjajahan Israel.

HASRON BIN HASSAN