KEMAMAN, 11 November - Seorang wanita nyaris maut selepas kereta dipandunya melanggar sekumpulan lembu di atas Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), di Kemaman, Terengganu awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 65 tahun hanya mengalami cedera ringan manakala kereta yang dipandunya remuk teruk selepas merempuh kumpulan haiwan berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi tadi di kilometer 301.5 berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Kijal, Kemaman.
Ketika kejadian, wanita terbabit bersama suaminya berusia 67 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Dungun menuju ke arah Kuantan, Pahang.
Sejurus tiba di lokasi kejadian di satu laluan lurus, kereta jenis Honda dipandu wanita terbabit dikatakan gagal mengelak sekumpulan lembu arah sama yang sedang melintas lebuh raya.
Susulan jarak yang terlalu dekat, mangsa dikatakan tidak sempat mengelak dan melanggar tujuh ekor lembu sebelum kereta nya terbabas.
Bagaimanapun mangsa hanya mengalami cedera ringan dan lebam pada bahagian tangan manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua tujuh ekor lembu yang dirempuh kereta wanita terbabit mati bergelimpangan di atas lebuh raya itu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Wanita nyaris maut, langgar tujuh ekor lembu di LPT2
powered by social2s