BUKIT KATIL, 11 November - Lebih 500 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka sedia digerakkan pada bila masa-masa bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula khamis ini hingga Mac tahun depan.
Pengarah JBPM Melaka, Mohd Zaidi Ma'at berkata, kesiapsiagaan ini turut diperkukuhkan dengan aset-aset operasi darat dan air merangkumi bot penyelamat, kenderaan utiliti, lori angkut, peralatan menyelamat air, komunikasi serta logistik sokongan.
"Di Melaka, hasil tinjauan yang dijalankan mendapati terdapat 106 lokasi yang berpotensi dilanda banjir, sama ada banjir kilat, banjir akibat hujan lebat atau air pasang.
"Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebanyak 27 kawasan dikenal pasti di Alor Gajah, 26 di Jasin dan 53 di Melaka Tengah. Kami sentiasa bekerjasama rapat dengan JPS bagi memantau paras sungai serta kawasan berisiko di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Melaka bagi bulan November 2025 dan Pelancaran Persiapan Monsun Timur Laut (MTL) di Ibu Pejabat JBPM Melaka di sini.
Pihaknya akan sentiasa melakukan pemantauan lokasi-lokasi tersebut dan turut mengharapkan kepekaan orang awam untuk memaklumkan kepada JBPM jika terdapat kawasan yang dinaiki air.
Dalam pada itu, 15 anggota Pasukan Gerak Cepat MTL 2025 Melaka yang ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh turut bersiap siaga 24 jam bersama aset logistik bagi membantu negeri-negeri berhampiran yang terkesan bencana banjir.