fb fb fb fb fb

851 PPS di Terengganu siap sedia diaktifkan, hadapi banjir

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 11 November - Sebanyak 851 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu kini bersiap sedia untuk diaktifkan bagi menempatkan kira-kira 215,392 penduduk terjejas banjir sekiranya bencana itu berlaku pertengahan November.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Datuk Hanafiah Mat, berkata, kumlah itu merangkumi sekolah, dewan orang ramai, balai raya, masjid, pusat komuniti, dan  premis-premis lain yang akan diaktifkan sebaik sahaja terdapat arahan pemindahan penduduk terjejas banjir.

Bagi menghadapi musim tengkujuh ini juga, kerajaan memperuntukkan RM4.1 juta termasuk RM2.8 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan telah berada pada tahap kesiapsiagaan penuh menghadapi musim tengkujuh.

"Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah telah mengadakan mesyuarat serta bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi kemungkinan banjir. Selain itu, semua barangan keperluan kering telah dihantar ke pangkalan hadapan, manakala pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dilawati pihak berkaitan termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Saya yakin kita kini berada dalam keadaan bersiaga untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada 13 haribulan ini. Saya dimaklumkan, terdapat tujuh gelombang yang diramal berlaku," katanya pada sidang Dewan Undangan negeri di sini.

Selain itu, sebanyak RM12.5 juta dibelanjakan bagi kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, meliputi pembersihan dan penyelenggaraan lebih 1,200 kilometer sistem saliran.

Kerja-kerja itu melibatkan pembersihan sungai dan tali air bagi melancarkan aliran air ketika hujan lebat, selain pembuangan kelodak, sampah dan tumbuhan liar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI