KUALA LUMPUR, 11 November - Hasil rampasan berjumlah RM15.5 bilion yang diperoleh daripada kegiatan penyeludupan dan penyelewengan disimpan dalam Tabung Perbendaharaan untuk menampung keperluan kewangan dan perbelanjaan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, dana tersebut akan digunakan secara telus mengikut keutamaan termasuk untuk sektor pendidikan, pertahanan dan kesihatan mengikut peruntukan yang telah ditetapkan dalam belanjawan.
"Dana ini untuk apa? Dana ini masuk consolidated fund. Melainkan yang masih dalam aset. Aset itu sebahagiannya masih belum diuruskan, untuk dipulangkan kepada kerajaan, tetapi yang tunai, telah masuk.
"Jadi, tentunya akan kita belanja ikut takrifan belanjawan nanti. Untuk pendidikan berapa, untuk pertahanan berapa, untuk kesihatan berapa..Jadi, jangan bimbang wang itu tidak tercicir, wang itu keseluruhannya on record dimasukkan kesemuanya", katanya.
Dewan turut dimaklumkan, keputusan untuk memberi arahan tegas dalam membanteras rasuah dan ketirisan telah melalui perbincangan mendalam dan mesyuarat berkala dengan agensi-agensi penguat kuasa terlibat.
"Saya nak jelaskan, bila saya ambil keputusan untuk memberi arahan yang jelas, tentunya saya maklum kepada ahli Jemaah Menteri dan saya terpaksa panggil, ada satu ketika dalam beberapa bulan peringkat awal kerana masalahnya terlalu rumit.
"Saya adakan perjumpaan hampir tiap minggu dengan SPRM, LHDN, Jabatan Siasatan Jenayah, AMLA, Kastam dan juga agensi-agensi terlibat untuk memberikan mereka keyakinan bahawa pimpinan kita tidak akan compromize'dan kita akan protect mereka dan apa yang mereka perlukan kita akan sediakan", katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa di Dewan Rakyat.