fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan komited tangani isu kesuburan

Datuk Noorzunita selepas merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Sembilan 2025 di USIM, Nilai.

NILAI, 26 Julai - Kerajaan Negeri Sembilan komited mewujudkan persekitaran kondusif dan dasar mesra keluarga bagi menggalakkan golongan muda membina keluarga serta menangani trend penurunan kadar kesuburan di negeri itu.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Noorzunita Begum berkata, walaupun Negeri Sembilan mempunyai lebih 823,200 penduduk produktif berumur antara 15 hingga 64 tahun, kadar kesuburan yang semakin menurun membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan kelestarian tenaga kerja negeri dalam jangka panjang.

“Penting untuk kita melaksanakan dasar inklusif seperti perumahan mampu milik, pendidikan dan latihan kemahiran (reskilling & upskilling) serta galakan kepada anak-anak Negeri Sembilan yang bekerja di luar untuk kembali berkhidmat di negeri sendiri,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di bawah kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, antaranya Dasar Perumahan Harapan dan Rumah Mampu Milik untuk memastikan anak tempatan tidak perlu berhijrah jauh demi kelangsungan hidup.

Datuk Noorzunita berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Sembilan 2025 sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri di USIM, di sini.

Setakat ini, kadar kesuburan di Negeri Sembilan dianggarkan hanya 1.8 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian semula iaitu 2.1.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN