fb fb fb fb fb

Pekebun Bumiputera disaran tanam durian Musang King

Datuk Seri Mohamad Sabu (kiri) pada Pesta Durian 2025 di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan.

GUA MUSANG, 26 Julai - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan lebih ramai pekebun Bumiputera menceburi penanaman durian Musang King secara komersial kerana potensi pendapatan yang tinggi.

Menurut beliau, penyertaan golongan Bumiputera dalam industri durian bernilai tinggi itu masih rendah berbanding kaum lain, khususnya masyarakat Cina yang lebih dominan dalam sektor berkenaan.

“Orang Melayu memang tanam durian, tapi biasanya secara tradisional untuk makan sendiri. Masih sedikit yang jadikan ia satu perusahaan besar.

"Walaupun ambil masa lama untuk hasil, sekitar enam ke tujuh tahun, tapi bila berbuah, pulangan sangat lumayan,” katanya.

Tambah beliau, industri durian dunia kini bernilai RM10 bilion, namun Malaysia hanya menyumbang RM1 bilion.

Ini menunjukkan ruang besar untuk berkembang, terutamanya dengan penyertaan lebih ramai pekebun bumiputera.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Durian 2025 di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan sasaran kementerian untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi kepada tujuh tan sehektar setiap musim.

Langkah itu seiring dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar penanaman padi lima musim dalam dua tahun dilaksanakan di kawasan Muda, sebagai usaha menjamin sekuriti makanan negara.

Beliau menegaskan, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kementerian penting untuk memastikan pelaksanaan program itu dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN