JOHOR BAHRU, 26 Julai – Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan peruntukan program Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta tahun ini disambut baik rakyat, khususnya di Johor Bahru.
Rata-rata berpendapat, langkah itu tepat pada masanya dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi golongan B40.
Penjawat awam negeri, Zulfadhli Arsyad Aris mencadangkan agar promosi dan capaian program diperluas bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
“Kerajaan perlu perbanyakkan lokasi jualan dan meluaskan lagi promosi kerana ada segelintir rakyat yang belum tahu tentang program ini, terutama yang di luar bandar,” katanya.
Siti Khadijah Hassan pula menyifatkan usaha itu sebagai responsif terhadap tekanan ekonomi semasa.
“Langkah yang bijak kerana kita sekarang terkesan dengan kos sara hidup. Jualan Rahmah sangat membantu, terutamanya jika boleh diperluas ke kawasan kampung yang jauh dari bandar,” jelasnya.
Bagi Hamizah Nur Baiyinah Hamzah, peningkatan kekerapan program juga perlu dipertimbangkan.
“Kalau boleh buat secara mingguan, lagi bagus. Tambah lokasi dan bantu lebih ramai yang berpendapatan rendah,” katanya.
Program Jualan Rahmah MADANI kini antara inisiatif utama kerajaan dalam membantu rakyat berdepan cabaran kos sara hidup.