BAGAN SERAI, 26 Julai – Kerajaan memilih untuk menyerap kos dan menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup rakyat, meskipun kenaikan tol sepatutnya dilaksanakan mengikut jadual.
“Sepatutnya rakyat bayar kadar tol yang baharu, tetapi kerajaan tidak mahu bebankan rakyat. Maka kerajaan yang tanggung kenaikan tersebut. Ini satu bentuk bantuan besar, hampir RM500 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Serai, Perak.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan kenaikan tol bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada.
Ia melibatkan 10 tol antaranya Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).