fb fb fb fb fb

Kritikan bukan permusuhan, tapi nadi demokrasi sihat

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kritikan dan perbezaan pandangan bukanlah tanda permusuhan, sebaliknya lambang kematangan demokrasi negara.

Jelas beliau, ruang bersuara mesti terus dipertahankan dalam suasana tertib dan aman demi melahirkan negara bangsa yang progresif serta berdaulat.

“Kritikan dan perbezaan pandangan tidak harus dilihat dari lensa permusuhan.

Ia mesti terus bercambah dan menjadi nadi demokrasi sihat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas keselamatan, perubatan dan sukarelawan yang telah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam serta kelancaran acara himpunan yang berlangsung hari ini.

"Kepada saudara saudari yang hadir, sama ada yang menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti, mahupun yang datang dari jauh, saya ucapkan selamat berpulang ke destinasi masing-masing.

Semoga perjalanan kalian dipermudah dan dilindungi," katanya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menegaskan komitmennya terhadap prinsip keterbukaan melalui Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen, yang memberi ruang kepada Ahli Parlimen mengemukakan soalan secara langsung kepada beliau.

“Saya mohon rakyat terus desak wakil rakyat hadir dan aktif dalam sesi itu demi memperkasa demokrasi,” ujar beliau.

Beliau turut mengajak rakyat bersama membina negara melalui wacana sihat di pelbagai ruang, bukan sekadar di jalanan, tetapi dalam lapangan ilmu dan pembangunan.

“Bangkit telaah, menggapai dan menguasai lapangan baharu agar negara dilonjak ke depan secara mantap dan bertenaga,” katanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN