RANAU, 26 Julai - Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Siri 2 Tahun 2025 bagi Zon Sabah yang berlangsung tiga hari bermula semalam dijangka menarik kehadiran 60,000 pengunjung.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penganjuran karnival merupakan platform merakyatkan perkhidmatan kerajaan khususnya di bawah kementeriannya dan menjadi pemangkin pelaksanaan KBBM 2025 dengan tema 'Jom Beli Lokal'.
“Kita pilih Ranau sebagai lokasi kali ini untuk memastikan program seperti ini bukan hanya tertumpu di bandar besar seperti Kota Kinabalu, tetapi juga sampai ke kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya dalam sidang media di Kompleks Sukan Ranau, di sini.
Tambah beliau, karnival juga turut membantu memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik dan membuka lebih banyak peluang pasaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ia juga memberi ruang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk berkualiti dan berdaya saing kepada pengguna, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menambah peruntukan RM300 juta bagi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), dengan sasaran 20,000 siri PJRM di seluruh negara tahun ini.
Katanya, pelaksanaan PJRM akan terus dipertingkat bagi memastikan lebih ramai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, dapat menikmati manfaatnya.