RANAU, 26 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas akses pembelian barangan keperluan asas oleh penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sehubungan itu, kementeriannya mencadangkan agar bantuan SARA turut boleh digunakan untuk pembelian di Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bergerak, selain pembelian di premis perniagaan yang sedia ada.
Jelas beliau, langkah itu penting bagi memastikan penduduk luar bandar dan pedalaman tidak terbeban dengan kos pengangkutan untuk ke premis tetap.
Menurut Datuk Armizan, inisiatif itu akan dilaksana dengan kerjasama Kementerian Kewangan.
“Kita mahu rakan strategik SARA tidak hanya tertumpu di premis tetap, tetapi turut libatkan PJRM Bergerak di kawasan luar bandar kerana masyarakat di sana kadang-kadang perlu belanja lebih untuk ke satu premis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 di Kompleks Sukan Ranau.
Sehingga kini, sebanyak 470 premis di Sabah termasuk pasar raya dan kedai runcit telah berdaftar sebagai lokasi pembelian bantuan SARA, daripada keseluruhan 4,152 premis di seluruh negara.
KPDN turut mencadangkan agar kemudahan pembelian menggunakan MyKad dibenarkan di PJRM Bergerak bagi memudahkan urusan penerima di pedalaman.
Datuk Armizan turut menyambut baik penambahan peruntukan keseluruhan Sumbangan Tunai RAHMAH (STR) dan SARA daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion, termasuk bantuan tunai one-off RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas.
Di Sabah sahaja, sebanyak RM410 juta disalurkan kepada 830,000 penerima STR, manakala RM500 juta kepada 506,000 penerima SARA setakat Julai ini.