fb fb fb fb fb

Peruntukan RM10 juta selaras projek, bantuan untuk rakyat susah di Muar

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

MUAR, 27 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM10 juta untuk selaras projek, bantuan untuk rakyat susah di Muar, Johor.

Ia sebagai langkah pantas membantu golongan memerlukan dan menyemarakkan semangat perjuangan kemerdekaan sebenar.

"Saya lihat semangat luar biasa rakyat Muar. Maka saya umumkan peruntukan RM10 juta yang akan disalurkan segera dalam satu hingga dua minggu ini, khusus untuk rakyat susah, terutamanya golongan B40," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 di sini yang merupakan simbolik kepada peranan sejarah Johor sebagai antara pusat awal kebangkitan nasionalisme negara.

Beliau turut mengarahkan agar projek-projek kecil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat diselaraskan segera Pegawai Daerah dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), dengan fokus kepada kesejahteraan rakyat yang paling memerlukan.

Datuk Seri Anwar menegaskan peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menjayakan gagasan Malaysia MADANI yang memberi keutamaan kepada keadilan sosial, kebertanggungjawaban pemimpin dan kebajikan rakyat.

Peruntukan RM10 juta itu merupakan tambahan kepada pelbagai inisiatif kerajaan yang telah diperkenalkan, termasuk bantuan subsidi bersasar, pengurangan kadar tarif elektrik untuk rakyat dan pelaksanaan gaji minimum lebih adil.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI