fb fb fb fb fb

Kementerian bincang tangani isu penjualan semula tiket konsert

Teo Nie Ching

JOHOR BAHRU, 10 Ogos - Kementerian Komunikasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berbincang bagi mencari penyelesaian isu penjualan semula tiket melampau atau scalping semasa konsert.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ia susulan aduan diterima berhubung tiket konsert yang dijual balik, sehingga lima kali ganda lebih mahal daripada harga asal.

Isu tersebut kerap timbul semasa konsert melibatkan artis antarabangsa dan artis terkenal tanah air.

"Jadi untuk nama besar yang membuat persembahan dalam negara memang akan ada aduan yang dilakukan berkait dengan scalping. Ia berikutan permintaan tiket untuk melihat persembahan artis antarabangsa ini sangat tinggi.

"Jadi ruang ini digunakan individu tidak bertanggungjawab menjual tiket berkenaan pada harga jauh lebih tinggi, daripada membelinya secara terus. Antara aduan yang diterima ialah konsert G-Dragon. Ada yang sanggup membayar hingga lima kali ganda semata-mata untuk melihat konsert tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Festival 2025 peringkat negeri Johor di Permas Jaya di sini.

Pihaknya sedang berbincang dengan penganjur, serta syarikat e-tiket bagi mencari penyelesaian terbaik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI