fb fb fb fb fb

GDPM Fest 2025 perkasa teknologi masa hadapan PMKS

Komunikasi Korporat MCMC

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 peringkat negeri Johor hari ini dilancarkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, sebagai langkah memperkasa penggunaan teknologi masa hadapan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya sektor kesihatan.

Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, program anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan MCMC itu bertujuan memastikan PMKS tidak tercicir daripada arus kemajuan teknologi, selain membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap, inklusif, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Antara pengisian termasuk perkongsian bantuan transformasi penjagaan kesihatan, demonstrasi teknologi baharu, kepentingan digitalisasi dalam perkhidmatan kesihatan, dan pengalaman realiti maya (VR).

"Sokongan rakan strategik seperti Kementerian Kewangan, Bank Simpanan Nasional, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia, penyedia telekomunikasi dan teknologi kesihatan masa depan membuktikan penyatuan sektor awam dan swasta penting bagi memperkukuh ekosistem kesihatan negara," menurut kenyataan itu hari ini.

MCMC turut memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kesedaran berhubung Garis Panduan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Dalam Talian (OHS), supaya penggunaan platform digital kesihatan lebih selamat dan beretika.

GDPM Fest 2025 akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di Johor Bahru hari ini, diikuti Kuantan pada 17 Ogos dan di Kota Kinabalu pada 24 Ogos.

Program itu diharap mampu menyokong usaha kerajaan ke arah ekosistem penjagaan kesihatan yang pintar, cekap dan inklusif demi kesejahteraan komuniti perubatan, PMKS dan rakyat Malaysia.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM