MELAKA TENGAH, 10 Ogos - Perpustakaan digital memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar sekolah serta mahasiswa dari institusi pengajian tinggi (IPT) dengan penggunaan komputer bagi tujuan pembelajaran.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, komuniti setempat yang ingin membangunkan perpustakaan digital sangat digalakkan supaya dapat menampung keperluan penggunaan komputer pelajar di setiap kawasan.
Mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) digalakkan untuk bekerjasama dengan pihak komuniti dan agensi kerajaan yang ingin membangunkan perpustakaan digital.
"Saya memang menyasarakan anak-anak daripada keluarga B40 supaya mereka boleh datang ke perpustakaan digital khususnya untuk mendapatkan informasi dalam subjek sains.
"Ini juga dilihat akan memupuk minat anak-anak dalam pelajaran sains. Jadi ini adalah sasaran kita selain membantu mereka dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan Digital Kota Melaka di Pusat Komuniti Kampung Tujuh, Gajah Berang, di sini.
Menerusi perpustakaan digital, pelajar boleh mendapatkan akses mudah untuk bahan digital, manuskrip, buku, imej dan surat khabar.