fb fb fb fb fb

Tiada unsur jenayah kes budak lelaki warga asing ditemui dalam kontena

(Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki warga asing dijumpai
di dalam kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Selasa)

KLANG, 20 Januari- Polis mengesahkan penemuan kanak-kanak lelaki warga asing di dalam kontena di kawasan Pelabuhan Barat, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata sebagaimana tular di media sosial sejak semalam, pemeriksaan sebuah kontena kosong mendapati seorang kanak-kanak lelaki warga ditemui berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

Beliau berkata pada 1.53 petang Rabu lalu., pihaknya menerima satu aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, berhubung perkara itu

"Pengadu yang bekerja sebagai operasi perkapalan itu memaklumkan, penemuan kanak-kanak ketika menguruskan kapal masuk di dermaga Pelabuhan Barat (Wesport) serta pemeriksaan sebuah kontena kosong.

"Menurut pengadu, kira-kira jam 9 malam pada 17 Januari (Selasa), dia mendapati seorang kanak-kanak lelaki warga asing berada dalam kontena berkenaan.

"Semakan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang identiti pengenalan diri. Laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mendapati, sebuah kapal Mv Integra bertolak daripada Chittagong Bangladesh pada 12 Januari lalu.

"Kapal terbabit yang membawa kontena mengandungi muatan barangan am itu tiba di Pelabuhan Barat pada 17 Januari.

"Mangsa dipercayai masuk secara haram ke dalam kontena ketika kapal berlabuh di Chittangong, Bangladesh," katanya.

(Tangkap layar video tular seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui dalam kontena yang baru
tiba di Pelabuhan Barat (Westport), Pelabuhan Klang)

Katanya lagi, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ke disahkan dalam keadaan stabil.

Berdasarkan keterangan mangsa, semasa bermain bersama kawan di Chittagong, Bangladesh dia masuk ke dalam kontena dan terkunci sehingga dijumpai oleh pengadu.

"Siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku di dalam kejadian ini.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah klasifikasi kes ini rujuk lain agensi (RLA) yang mana kes dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menguruskan dokumen mangsa serta penghantaran pulang dengan menggunakan kapal kargo yang sama," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes jenayah.

Video mengenai penemuan kanak-kanak ini dikesan tular di media sosial selepas terkunci dalam kontena berkenaan selama lebih kurang enam hari.

Kandungan video berdurasi 56 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah tidak bermaya keluar dari kontena sebaik pintunya dibuka oleh anggota Polis Bantuan Pelabuhan.

Berdasarkan maklumat sumber, seorang daripada kakitangan pelabuhan dikatakan terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena itu.

Berdasarkan siasatan awal kanak-kanak itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia diangkut ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.

Media Baharu