(Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto Bernama)
KUALA LUMPUR, 19 Jun- Hasil Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mendapati tiada sebarang bukti kesalahan jenayah dilakukan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Perkara itu turut dipersetujui Jabatan Peguam Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata SPRM telah melakukan siasatan dengan teliti selepas menerima laporan kes rasuah membabitkan hakim berkenaan.
"Alasan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah relevan kerana memuktamadkan kes ini, bahawa sumber wang yang dikatakan telah diseleweng dari SRC International Sdn Bhd tidak relevan bagi tujuan pembuktian pertuduhan melibatkan kesalahan jenayah pecah amanah.
"Elemen penting untuk dibuktikan pertuduhan tersebut adalah sama ada tertuduh mempunyai dominasi terhadap dana yang diselewangkan.
"Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa tidak ada kaitan di antara pekerjaan terdahulu hakim Nazlan di Maybank dengan pertuduhan tersebut. Sumber dana yang diselewangkan itu tidak relevan, juga diakui peguam defendan, jika sumber wang diseleweng tidak relevan, maka peranan dan pekerjaannya di Maybank adalah tidak relevan," katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Kesavadas A Achyuthan Nair mengenai status siasatan SPRM ke atas Datuk Seri Mohd Nazlan melibatkan konflik kepentingan dalam kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
(Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali/Foto fail Bernama)