fb fb fb fb fb

Mahkamah Syariah Perlis laksana perbicaraan tertutup kes cerai

(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Buku
'Memahami Akidah Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah)

KANGAR, 19 Jun-Mahkamah Syariah Negeri Perlis bakal melaksanakan sesi perbicaraan secara tertutup bagi kes-kes perceraian dan akan dijalankan secara terhad di antara pihak-pihak yang berkhilaf sahaja.

Keputusan berkenaan dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berkenan agar perbicaraan secara tertutup dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) bermula 1 Julai 2023.


(Foto hiasan)

Menurut Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Jaidi Ahmad, pelaksanaan berkenaan dibuat hasil daripada penelitian terhadap amalan yang dilaksanakan di Doha, Qatar melalui pengalaman Program Safar Ilmu MAIPs serta telah dilaksanakan kajian mendalam terhadap kesannya sebelum diimplementasikan di negeri Perlis.

Keputusan berkenaan dibuat adalah bagi menjaga aib di antara pihak-pihak yang terlibat terutamanya yang melibatkan kes-kes yang mendedahkan keaiban peribadi selain bagi mengelakkan unsur 'ghibah' atau menyebutkan sesuatu perkara yang terdapat pada diri seseorang Muslim serta boleh membawa kepada fitnah.

Titah perkenan berkenaan telah dizahirkan Tuanku Syed Faizuddin ketika Program Forum Safar Ilmu MAIPs bersempena cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain Kuala Perlis.

Pada Majlis berkenaan, baginda turut berkenan melancarkan Buku 'Memahami Akidah Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah Berdasarkan Manhaj Salaf' karya Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Profesor Dr. Basri Ibrahim yang juga merupakan Profesor di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Media Baharu