KUALA LUMPUR, 19 Jun- Seramai 47 jemaah warga emas yang ditipu dalam pakej haji tanpa mengggunakan agensi pelancongan sah, hanya dikenakan amaran oleh Arab Saudi.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, pendekatan berhemah tanpa mengenakan sebarang denda itu berikutan rekod cemerlang jemaah haji negara yang sentiasa mematuhi peraturan sepanjang berada di Tanah Suci.
"Kita ada rekod yang baik. Saya ingat kerajaan Arab Saudi lepaskan mereka dengan memberi amaran sahaja.
"Mereka tidak disenarai hitam dan dikenakan denda sehingga RM100,000.
Bermakna kerajaan Arab Saudi memberi peluang dan peringatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ziarah Kasih Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bersama pesakit dialisis di ibu negara.
Bagaimanapun, Datuk Dr Mohd Na’im menegaskan isu tersebut tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia berisiko menjejaskan imej negara, dan dikhuatiri boleh mengakibatkan keistimewaan jemaah haji Malaysia ditarik balik oleh kerajaan Arab Saudi.
Ia juga boleh dijadikan pengajaran agar umat Islam di negara ini lebih berwaspada ketika memilih pakej haji atau umrah, selain hanya berurusan dengan agensi yang diiktiraf bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Terdahulu, dilaporkan seramai 47 jemaah haji warga emas menjadi mangsa penipuan pakej haji ‘DIY’ oleh seorang ejen tempatan, dipercayai turut membabitkan individu bergelar agamawan.