fb fb fb fb fb

SST, lebih banyak penjelasan akan dibuat - PM

Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 19 Jun - Pelaksanaan semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan wujud kekeliruan berkaitan barangan import terpilih termasuk buah-buahan.

Menurut Datuk Seri Anwar, perkara itu akan diperjelaskan secara lebih terperinci bagi mengelak kekeliruan rakyat.

Isu berkenaan timbul selepas tular kenyataan kononnya pisang turut dikenakan SST. 

Jelas Perdana Menteri, ia sebenarnya merujuk kepada pisang import, bukan buah-buahan tempatan.

"Mungkin kadang-kadang kenyataan umum, seperti kenyataan pisang dikenakan SST. Jadi keliru, sebenarnya pisang import. Tetapi saya bersetuju kita akan perjelaskan kerana yang penting kita tidak mahu yang membebankan golongan bawahan ataupun M40," katanya.

Tambah Datuk Seri Anwar, pendekatan SST adalah bersasar khususnya kepada barangan mewah dan perkhidmatan tertentu yang digunakan oleh golongan berada, termasuk buah-buahan import dan sekolah swasta elit.

Jelas beliau, kutipan cukai amat penting bagi menampung keperluan rakyat seperti kesesakan hospital, sekolah, dan penyelenggaraan kemudahan awam.

SST juga hanya dikenakan ke atas sekolah swasta yang mengenakan yuran tinggi melebihi RM60,000 setahun dan tidak melibatkan kebanyakan institusi swasta biasa.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa kerajaan bersedia membuat penyesuaian terhadap senarai SST, sekiranya terdapat keperluan selepas diteliti secara menyeluruh.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI