fb fb fb fb fb

SMART dipilih jadi mentor Rusia dalam persiapan INSARAG

SMART dipilih jadi mentor Rusia dalam persiapan INSARAG / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 19 Jun – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah dipilih sebagai mentor rasmi kepada Rusia dalam persiapan menghadapi penilaian semua Kumpulan Penasihat Misi Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah, susulan lawatan kerja Menteri Pertahanan Awam, Kecemasan dan Pengurusan Bencana Alam (EMERCOM) Rusia, Kolonel Jeneral Alexander Kurenkov ke Malaysia, hari ini.

Menurut Abdul Halim, keputusan Rusia memilih Malaysia sebagai mentor merupakan satu pengiktirafan besar terhadap keupayaan dan kecemerlangan pasukan SMART dalam operasi mencari dan menyelamat di peringkat antarabangsa.

“Ini satu penghormatan besar kepada negara. Malaysia bukan sahaja antara negara pertama di rantau ini yang menerima pensijilan INSARAG pada 2016, malah kita juga sedang bersiap sedia untuk proses pengiktirafan semula pada 2026,” katanya.

Lawatan rasmi Kolonel Jeneral Kurenkov ke Markas SMART dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh kepercayaan operasi dan meneroka potensi kerjasama taktikal yang lebih erat antara kedua-dua negara dalam bidang mencari dan menyelamat.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik tersebut, latihan bersama antara pasukan SMART (MAS-01) dan RUSH-03 dari Rusia turut dijalankan, bagi memperkukuh koordinasi taktikal dan kefahaman dua hala dalam pengurusan kecemasan berskala besar.

Kerjasama itu juga menandakan peningkatan hubungan profesional antara Malaysia dan Rusia dalam bidang pengurusan bencana, serta membuktikan keupayaan Malaysia sebagai pemain utama dalam bantuan kemanusiaan antarabangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN