fb fb fb fb fb

WCR 2025, bukti keberhasilan reformasi ekonomi dan birokrasi

Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 19 Jun - Kejayaan Malaysia melonjakkan kedudukannya yang ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025, membuktikan keberhasilan reformasi ekonomi dan birokrasi.

Sekali gus meletakkan negara pada landasan tepat sejajar Kerangka Ekonomi MADANI.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menjelaskan kejayaan itu turut mencerminkan usaha kolektif dalam memperkukuh dasar fiskal, mempermudah urusan perniagaan serta mempercepat reformasi penyampaian perkhidmatan awam.

"Misalnya, Indeks Persepsi Negara telah melonjak 22 anak tangga, satu isyarat jelas reformasi negara sedang menunjukkan hasil yang nyata. Bukan sahaja di peringkat nasional, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa," beliau berkata demikian pada Taklimat Khas Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata pencapaian kerajaan MADANI hari ini turut disumbang antaranya hasil pendekatan kerajaan yang bersikap terbuka dalam menerima sebarang kritikan dan teguran membina.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa kerajaan MADANI tidak melaksanakan agenda reformasi.

"Pejabat Perdana Menteri juga ingin tegaskan bahawa dakwaan reformasi tidak berlaku, tidak berasas sama sekali. Agenda reformasi sedang berjalan dengan konsisten bukan hanya sehari dan bukan sekadar kenyataan, tetapi tindakan berstruktur," tegas beliau.

Menyentuh mengenai jumlah pelaburan yang diluluskan suku pertama tahun ini iaitu sebanyak RM89.8 bilion, beliau berkata ia bukti keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi negara.

"Malaysia berjaya merekodkan pelaburan diluluskan suku pertama tahun 2025 iaitu RM89.8 bilion meningkat 3.7 peratus berbanding tahun lalu meskipun landskap global semakin mencabar. Pelaburan ini akan menghasilkan 160 projek di seluruh negara termasuk 33,000 peluang pekerjaan.

"Dalam sektor mikro elektronik dan semikonduktor, Malaysia memperoleh RM4.6 bilion potensi pelaburan dan RM507 juta potensi eksport hasil penyertaan di SEMICON Southeast Asia 2025," jelas beliau.

Disebalik kejayaan dicapai Kerajaan MADANI, Tunku Nashrul memaklumkan kerajaan tetap mengambil perhatian serius rintihan rakyat mengenai pelaksanaan beberapa dasar baharu kerajaan.

"Perdana Menteri menegaskan, setiap keputusan akan dibuat secara teliti dengan penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan. Malaysia antara negara dengan nisbah cukai paling rendah dalam KDNK sekitar 12%, bermakna ruang penjanaan hasil masih sempit dan peluasan cukai diperlukan untuk memastikan keberlanjutan fiskal negara.

"Namun prinsip negara jelas beban tidak akan ditanggung rakyat terbanyak," katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan menyalurkan semula hasil kutipan cukai tersebut demi manfaat rakyat.

"Hasil cukai akan digunakan semula untuk program mesra rakyat termasuk RM13 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memanfaatkan 9 juta penerima.

"RM400 juta untuk membaik pulih klinik-klinik usang, lebih RM600 juta untuk membaiki tandas sekolah dengan memberi manfaat kepada lima juta pelajar," katanya.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI