KUALA LUMPUR, 18 Disember - Tiada tempoh ‘bulan madu’ diberikan kepada anggota Kabinet yang baharu dilantik atau bertukar portfolio, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, perkara itu dimaklum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, sebagai penegasan agar semua menteri segera melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Datuk Fahmi berkata, kebanyakan menteri sedia ada telah memahami urusan pentadbiran kementerian, manakala mereka yang baharu menyertai pentadbiran memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan memahami selok-belok pengurusan.
"Saya percaya Perdana Menteri akan memantau perkara ini melalui Jemaah Menteri bagi memastikan sebarang isu pentadbiran dapat ditangani dengan segera," katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu pemukiman Jemaah Menteri dijangka diadakan pada Januari depan bagi memperjelas hala tuju, objektif serta matlamat kerajaan selain memperincikan keutamaan yang perlu diberi perhatian semua anggota Kabinet sebagai persediaan menghadapi tahun 2026.
Tambah beliau, Perdana Menteri turut mengalu-alukan pelantikan menteri baharu dan mengingatkan mereka supaya meneliti serta memahami secara mendalam aspek pengurusan kementerian dan dasar yang sedang dirangka sebelum membuat sebarang keputusan.
Katanya, Perdana Menteri juga menasihatkan menteri baharu agar tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa, sebaliknya memberi ruang kepada pegawai serta penjawat awam mengemukakan pandangan dan input berkaitan.##