JELI, 18 Disember - Dua beranak maut tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Batu Melintang, Jeli Kelantan, tengahari tadi.
Seorang mangsa cedera ringan dalam nahas membabitkan sebuah Toyota Lexus yang bertembung dengan Perodua Alza kira-kira pukul 1.59 tengah hari itu.
Impak kemalangan menyebabkan Perodua Alza dinaiki seorang lelaki, 39 tahun bersama anak lelakinya, 16 tahun terbalik dan terhumban ke tebing jalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Seramai lapan anggota bersama dua jentera, iaitu sebuah FRT dan EMRS, tiba di lokasi pada jam 2.14 petang.
Pemeriksaan awal mendapati dua beranak terbabit tersepit di dalam kenderaan.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan 'rescue hydraulic cutter', namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.
Pemandu sebuah lagi kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.47 petang.