MELAKA, 18 Disember - Semua kontraktor yang dilantik Kementerian Kerja Raya (KKR) diwajibkan menyiapkan projek yang diberikan mengikut tempoh ditetapkan atau lebih awal daripada jadual.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, penekanan itu merupakan prinsip utama kementerian selaras dengan peringatan Perdana Menteri agar pelaksanaan semua projek kerajaan dipercepatkan tanpa sebarang kelewatan.
"Kementerian tidak mahu berlakunya projek lewat jadual atau projek bermasalah, sebaliknya memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek yang mendahului jadual atau 'ahead of time'," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka di Jalan Taming Sari.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan,sebanyak 159 projek pembinaan dan penyelenggaraan bernilai RM2.7 bilion sedang dan akan dilaksanakan JKR Melaka tahun ini.
Katanya, projek-projek tersebut melibatkan tiga fasa utama iaitu fasa perancangan, pembinaan dan serahan.
Selain itu, sebanyak RM58.8 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya melibatkan jarak keseluruhan 324.95 kilometer di seluruh negeri Melaka.