NILAI, 18 Disember – Malaysia masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota haji tambahan bagi musim 1447H/2026M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan tersebut dan kini masih menunggu keputusan daripada kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan/Foto RTM
“Kuota haji tambahan itu memang sudah kita mohon kepada mereka. Namun begitu, keputusan tersebut adalah hak mutlak dan prerogatif kerajaan Arab Saudi. Apa yang boleh kita jamin ialah setiap kuota yang diberikan akan dipenuhi seratus peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Jenayah Syariah Dalam Kalangan Belia 2025 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk pemakluman awal kepada bakal jemaah, kadar penangguhan tawaran haji berjaya dikurangkan kepada 18 peratus.
Tambahnya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan setiap kuota yang diperuntukkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh jemaah yang terpilih.
Konvensyen berkenaan menghimpunkan lebih 300 belia, terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah menengah, wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran golongan belia terhadap isu jenayah syariah yang semakin mencabar dalam konteks sosial dan digital masa kini, selain membantu mereka memahami implikasi salah laku syariah dari sudut agama, sosial dan perundangan secara lebih menyeluruh.