fb fb fb fb fb

Tiada syarat MP pembangkang sokong PM untuk dapat peruntukan

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tohmahan pembangkang kononnya Ahli Parlimen mereka dikenakan syarat untuk menyokong Perdana Menteri bagi mendapatkan peruntukan.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata, perbincangan lebih menjurus kepada memastikan kestabilan kerajaan dan juga pertumbuhan ekonomi.

“Tidak ada syarat sokong PM seperti mana ditohmah oleh pembangkang. Kita beri mandat kepada Fadillah (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof) dan jawatankuasa.

“Perbincangan supaya kerajaan stabil dan kita tumpu kepada pertumbuhan ekonomi yang menjamin keamanan, kestabilan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang di sini hari ini.

Semalam Fadillah dilapor berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Fadillah berkata, satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

ARTIKEL BERKAITAN
Kerajaan setuju pertimbang salur peruntukan kepada pembangkang
PM bincang agihan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang
Ahli Parlimen nyata sokongan terhadap PM tidak sebabkan hilang kerusi - Saifuddin Nasution
Sokongan kepada PM mampu perkukuh keyakinan rakyat dan komuniti pelabur - TPM Fadillah
Dakwaan 10 lagi MP pembangkang sokong PM, kerajaan terbuka jalin kerjasama - Fahmi

SITI AISHAH MD ISA