fb fb fb fb fb

Tiada syarat baharu bagi urusan tanding pilihan raya - Wan Junaidi

KUALA LUMPUR, 6 September - Tiada syarat baharu diperlukan bagi urusan pencalonan wakil bertanding pilihan raya akan datang, khususnya bagi calon yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, syarat sedia ada yang termaktub dalam perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan sudah mencukupi.

"Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan jika individu itu didapati bersalah dan dihukum, dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas akan hilang kelayakan.

"Perkara ini juga perlu dibaca bersama dengan Perkara 48 (5) berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan cadangan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya agar kerajaan memperketatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya, termasuk larangan bertanding kepada individu dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan dan rasuah.

(FOTO Facebook Wan Junaidi)

Oleh itu katanya, jika syarat-syarat berkenaan ditambah, proses pencalonan pilihan raya akan menjadi rumit seperti pada tahun era 90-an.

"Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya," ujarnya.

Mengulas mengenai individu yang telah dipilih menjadi ahli Parlimen, kata Wan Junaidi, keahliannya tidak akan tergugur melainkan syarat-syarat sebagai mana yang ditentukan di bawah Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ahli Parlimen telah dihukum dan belum mendapat pengampunan.

"Mengikut Perkara 48 (4) (c) apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli Parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya," jelasnya lagi.

Media Baharu