(FOTO HIASAN)
PASIR MAS, 6 September- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 1,055 kes penderaan kanak-kanak di seluruh negara dalam tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata daripada jumlah itu 578 kes membabitkan penderaan fizikal, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes penderaan emosi.
Katanya lagi , 67 peratus atau 706 kes melibatkan kanak-kanak perempuan dan 33 peratus atau 349 kes , kanak-kanak lelaki.
“Sepatutnya anak-anak kita dilindungi, kita sayangi bukan untuk kita ganasi, bukan untuk kita buat berlaku tak sepatutnya jadi sebab itulah kita memandang serius perkara ini sebab itu kempen ini kita laksanakan supaya semua anggota masyarakat bertanggungjawab sama-sama dalam kita melindungi kanak-kanak," katanya.
(Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff)
Siti Zailah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Kelantan di Pasir Mas.
Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Kelantan, Said Sidup.
Pada majlis tersebut, beliau turut memperkenalkan kaktus sebagai simbol kepada kebersamaan komuniti dan kerajaan dalam menangani isu jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya berharap isu penderaan terhadap kanak-kanak ini diambil serius oleh semua pihak.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mengesyaki terdapat berlakunya kes penderaan kanak-kanak supaya menghubungi Talian Kasih 15999 agar isu tersebut dapat ditangani bersama.