KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.
Beliau berkata, semua kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan perlu mengambil tanggungjawab untuk terus mengangkat taraf hidup peneroka Felda.
“Kerajaan telah bersedia memperuntukkan RM100,000 bagi setiap kampung Felda untuk melaksanakan projek pembangunan yang mereka sendiri tentukan berdasarkan keperluan setempat,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara.
Menurutnya, Kerajaan MADANI tanpa prejudis sentiasa menjaga hak dan kebajikan rakyat secara menyeluruh, termasuk golongan peneroka Felda.