fb fb fb fb fb

Penyahsenaraian FGV langkah strategik Felda lindungi peneroka

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mega Karnival 3 Dimensi 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC). Foto-BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) boleh mula menentukan sendiri arah tuju FGV Holdings Bhd selepas syarikat itu selesai menjalani proses penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia yang dijadual bermula 28 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu membolehkan Felda, bersama koperasi dan peneroka, memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat asal penubuhan agensi berkenaan.

Katanya, dengan tidak lagi terikat kepada entiti luar, Felda dan FGV dapat merancang hala tuju mereka secara bebas, sekali gus memastikan faedah dan kepentingan peneroka menjadi keutamaan utama.

“FGV mesti kembali kepada asas penubuhan Felda, iaitu memberi keutamaan kepada peneroka daripada segi hak, hasil dan peranan koperasi yang ditentukan sendiri oleh mereka.

“Yang lain kita serahkan kepada Felda dan FGV untuk diurus dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, proses penyahsenaraian itu merupakan hasil daripada pengurusan cekap Felda dan kini tumpuan harus diberikan kepada pelaksanaan projek yang memberi manfaat terus kepada peneroka.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN