fb fb fb fb fb

Selangor arah semua PBT kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan

Foto Facebook Ng Suee Lim

SEKINCHAN, 2 Ogos - Kerajaan Selangor akan mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengibarkan Jalur Gemilang di semua premis kerajaan sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Exco Kerajaan Tempatan Datuk Ng Suee Lim berkata, surat peringatan juga akan dikeluarkan kepada pemilik premis dan agensi berkaitan agar bersama menyemarakkan semangat patriotik dengan mengibarkan bendera di rumah dan premis masing-masing.

"Saya akan mengarahkan semua PBT di premis kerajaan semuanya mengibarkan bendera. Kemudian kita akan keluarkan surat melalui PBT, peringatan kepada semua pemegang taruh, pemilik-pemilik premis yang ada supaya mereka juga sama-sama.

"Hayatilah kemerdekaan kita untuk kibarkan bendera di halaman rumah, bukan sahaja PBT, bukan sahaja premis-premis. Kita akan melalui semua agensi termasuk lantikan-lantikan politik daripada kerajaan, negeri dan seluruhnya", katanya kepada media selepas Kembara Merdeka Jalur Gemilang KMJG 2025 Peringkat Negeri Selangor di Pantai Redang, Sekinchan, Selangor.

Selain itu, ibu bapa turut digalakkan untuk membimbing anak-anak agar menghargai makna kemerdekaan. Antaranya dengan membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah serta kenderaan.

Seramai 68 orang peserta terlibat dalam konvoi tersebut yang terdiri dari Jabatan Penerangan, Selangor FM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta kelab pemotoran berkuasa tinggi.

ROSLINA BINTI DIN