KAJANG, 2 Ogos – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus komited memperkukuh hubungan dengan masyarakat menerusi penganjuran program Hari Bertemu Pelanggan APM Tahun 2025 yang berlangsung di Plaza Metro Kajang, Selangor.
Majlis penutupan program tersebut dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk KPj. (PA) Aminurrahim Mohamed.
Program yang julung kali diadakan di pusat beli-belah itu hasil kerjasama strategik antara APM dan MKH Plaza Metro Kajang. Ia bertujuan mendekati orang ramai secara langsung dalam suasana lebih santai dan mesra komuniti.
Pendekatan tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami peranan serta tanggungjawab APM dalam aspek kesiapsiagaan, bantuan kecemasan dan pengurusan bencana.
Antara aktiviti menarik sepanjang program berlangsung termasuk pertandingan mewarna, pertemuan bersama artis APM, tarian CPR, demonstrasi abseling oleh Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) serta cabutan bertuah yang menarik minat pengunjung pelbagai lapisan umur.
Majlis turut diserikan dengan pertukaran cenderamata kenangan antara APM dan MKH Plaza Metro Kajang, serta penyampaian sijil penghargaan kepada wakil agensi dan urus setia yang terlibat.
Turut hadir, Pengurus MKH Plaza Metro Kajang, Stephen Heng, PPj. Kehormat (PA) Dato’ Fyzal Fauzy dari Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan Data dan Industri; Kolonel Bersekutu (PA) Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi) selaku Presiden Persatuan Seniman Malaysia serta wakil agensi kerajaan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pusat Darah Negara.
Penganjuran program tersebut diharap dapat memperkukuh kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat serta memupuk semangat kesukarelawanan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana secara berterusan.