fb fb fb fb fb

MAIWP sumbang ambulans kepada Institut Perubatan Respiratori, HKL

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur menerima sumbangan sebuah ambulans baharu daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam usaha memperkasa perkhidmatan kesihatan kepada golongan asnaf dan pesakit memerlukan.

Majlis Pelancaran Ambulans IPR HKL itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata sumbangan ambulans bernilai RM450,000 itu diharap dapat membantu memudahkan urusan pesakit.

"Yang ini adalah merupakan salah satu tanggungjawab dan sudah tentu dalam Kerajaan MADANI, di bawah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, sifat ihsan dan rasa tanggungjawab itu perlu ada. Sifat tanggungjawab ihsan ini yang ada pada MAIWP diterjemahkan dalam bentuk sumbangan dan bantuan yang diberikan kepada institusi.

"Institusi IPR dan Hospital Kuala Lumpur ini sangat penting sebab mereka ini membantu untuk menyelamatkan nyawa-nyawa pesakit-pesakit yang ada di hospital ini", katanya.

Menurutnya, sumbangan itu dilaksanakan di bawah Kluster Perubatan MAIWP yang turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kesihatan termasuk dialisis, peralatan perubatan dan rawatan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Sebanyak RM1.85 juta diperuntukkan kepada 14 hospital dan pusat perubatan bagi tahun ini sebagai sebahagian usaha memperluas manfaat zakat kepada pesakit asnaf.

MAIWP turut meluluskan peruntukan sebuah bas coaster bernilai RM229,000 kepada Hospital Kuala Lumpur bagi kemudahan pengangkutan pesakit dan waris.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Mohd Na’im turut meluangkan masa menziarahi tiga buah keluarga asnaf sekitar ibu negara, bagi menyampaikan bantuan secara langsung dan meninjau keadaan mereka yang memerlukan perhatian kesihatan serta sokongan hidup berterusan.

ROSLINA BINTI DIN