fb fb fb fb fb

Pemasyhuran UniSIRAJ, simbol penyatuan keilmuan Islam dan pendidikan moden

Foto RTM

ARAU, 7 November - Majlis Pemasyhuran Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) secara rasmi bakal berlangsung 13 November ini, di Dewan 2020 Kangar, Perlis.

Majlis akan disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Pemasyhuran itu juga disekalikan dengan pengenalan logo baharu, menandakan satu lagi detik bersejarah dalam landskap pendidikan tinggi Islam, selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai pusat keilmuan Islam bertaraf antarabangsa.

Maklumat berhubung majlis berkenaan telah dipersembahkan oleh Rektor UniSIRAJ, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, juga merangkap Canselor UniSIRAJ, dalam satu sesi sembah mengadap di Bilik Mesyuarat, Galeri DiRaja Arau.

Objektif utama penganjuran bagi menghargai sokongan dan keprihatinan Institusi Diraja Negeri Perlis terhadap pembangunan pendidikan Islam di negeri itu. Majlis tersebut juga bertujuan memperkenalkan transformasi institusi secara rasmi, mengukuhkan jalinan strategik bersama pihak berkepentingan serta menyerlahkan komitmen universiti terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan insan berteraskan nilai Islam.

Terdahulu, UniSIRAJ dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Transformasi KUIPs kepada UniSIRAJ merupakan langkah strategik bagi memperkukuh peranan institusi itu sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan berteraskan ilmu Islam, integriti serta inovasi.

Majlis Pemasyhuran UniSIRAJ dijangka menjadi simbol penyatuan antara tradisi keilmuan Islam dan visi pendidikan moden.

Sekali gus, membuka lembaran baharu dalam landskap pendidikan tinggi Islam yang lebih progresif dan berdaya saing di Perlis.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN