fb fb fb fb fb

Lelaki hilang di Sungai Kuala Tutoh ditemukan meninggal dunia

FOTO JBPM SARAWAK

MARUDI, 7 November – Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki warga India yang dilaporkan hilang di Sungai Kuala Tutoh, Baram, berakhir pada pagi Jumaat apabila mangsa ditemukan meninggal dunia.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa, dikenali sebagai Prashant berusia 21 tahun.

Mangsa merupakan krew kapal yang dilaporkan hilang sejak Rabu lepas dan berjaya ditemukan kira-kira pukul 9.30 pagi pada jarak lebih kurang satu kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

"Tangan kiri mangsa didapati hilang dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibaham buaya.

"Mangsa kemudian dibawa ke Dermaga menggunakan bot bomba pada pukul 9.45 pagi untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, mangsa dilaporkan berenang dari kapal menuju ke tebing sungai sebelum cuaca bertukar ribut dan kapal hanyut ke tengah sungai.

Mangsa kemudian cuba berenang semula ke kapal yang berada kira-kira 30 meter dari tebing sebelum dia tiba-tiba hilang daripada pandangan saksi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM