fb fb fb fb fb

362 kotak makanan & sumbangan disalurkan kepada pesara ATM di Sungai Siput

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari/ BERNAMA

SUNGAI SIPUT, 2 Ogos - Sebanyak 362 kotak makanan dan sumbangan disampaikan kepada pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan komuniti setempat menerusi Program Veteran Desa MADANI (VDM) daerah Sungai Siput, hari ini.

Program tersebut turut menyantuni veteran dalam kalangan orang asli.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program siri kelima itu memberi fokus kepada aspek kebajikan, kesihatan, pendidikan, perumahan, dan pemerkasaan ekonomi keluarga veteran.

"Hari ini kita berikan bantuan membaik pulih rumah untuk sebahagian Veteran. Bagi veteran yang mengusahakan tanaman cili fertigasi, kita bantu dengan peralatan dan jentera yang diperlukan. Dalam masa yang sama, kita sampaikan Bantuan Sara Hidup kepada anggota Veteran daripada komuniti Orang Asli. Mereka yang tidak berpencen menerima sumbangan sebanyak RM500 sebulan,” katanya kepada media semasa menghadiri program Veteran Desa MADANI di Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong.

Jelasnya, setakat ini seramai 32,000  anggota Veteran yang tidak berpencen dibantu menerusi Bantuan Sara Hidup di seluruh negara.

Pada program itu, turut disampaikan Kad Veteran ATM kepada Veteran orang asli, sumbangan Rahmah dan bantuan-bantuan lain kepada komuniti dan Persatuan Veteran ATM Sungai Siput.

ROSLINA BINTI DIN