fb fb fb fb fb

Pusat Matlamat Pembangunan Mampan ditubuhkan, pantau SDG negara- PM

KUALA LUMPUR, 6 September- Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara akan ditubuhkan bagi memperkasa dan mempergiat program serta memantau kemajuan SDG negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penubuhannya di bawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis SDG Negara yang beliau pengerusikan semalam.

“Agenda pembangunan mampan ini memerlukan penglibatan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikat-syarikat swasta dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta kerajaan-kerajaan negeri dengan sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri.

Beliau berkata setiap negeri digalakkan menyediakan laporan tersebut sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi.

Selain itu katanya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga diminta agar segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada hujung tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

Semalam, Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat Majlis SDG Negara itu buat julung kali sejak penubuhannya pada 2016 melibatkan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor iaitu sektor awam, sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil, yang membincangkan agenda pembangunan mampan negara.


(Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat Majlis SDG Negara, semalam)

Mesyuarat itu dihadiri ahli-ahli majlis yang merangkumi Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri Kanan dan Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan, Ketua Kluster Jawatankuasa Kerja SDG, dan beberapa Ahli Parlimen.

SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), dari 2016 hingga 2020 dan kini dilaksanakan dalam RMK12 (2021-2025) serta akan diteruskan dalam RMK13 (2025-2030).

Pelaporan kemajuan SDG negara dilaksanakan setiap empat tahun, sejajar dengan saranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar pembentangan laporan dilakukan secara berkala menerusi Laporan Semakan Kebangsaan (VNR).

Media Baharu