fb fb fb fb fb

Jabatan Perikanan Perak tambah baik undang-undang, tangani guna bom ikan

(Foto hiasan BERNAMA)

TAIPING, 6 September- Jabatan Perikanan Perak sedang menambah baik akta Kaedah-kaedah Perikanan Sungai (Perak) 1992.

Antaranya larangan menangkap ikan menggunakan peralatan yang dilarang dan larangan melepaskan ikan-ikan bukan asli ke perairan Sungai Perak.

Pengarahnya, Noraishah Hashim berkata, ini kerana aktiviti menuba ikan di sungai negeri berkenaan termasuk menggunakan peledak bom, racun dan kejutan elektrik menjejaskan pendapatan nelayan darat.

Malah ia menjadi penyumbang kepupusan pelbagai spesies ikan dalam jangka masa panjang.

"Kita punya pihak penguatkuasaan kita adalah terdiri daripada kakitangan yang juga membuat penguatkuasaan di laut jadi kita ada sedikit kekangan dari segi kakitangan tapi sekiranya kita mendapat aduan dan membuat intipan dan kita akan menangkap mereka sekiranya pada ketika itu berlaku kerja-kerja tersebut ," katanya.

Noraishah ditemui pada program Kesedaran Pematuhan Keperluan MYGAP Dan Pensijilan Jabatan Perikanan Malaysia di Taiping.


(Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Noraishah Hashim)

Turut hadir Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Razman Zakaria.

Dalam pada itu, sepanjang tahun ini, 10 sesi libat urus telah diadakan bersama nelayan darat dan orang awam bagi meningkatkan kesedaran pihak terlibat mengenai bahaya aktiviti menuba ikan.

Pada Isnin lepas, seorang lelaki dilaporkan maut manakala rakannya cedera parah dipercayai terkena bom ikan di kawasan Hutan Lipur Lata Kekabu di Lenggong, Perak.

Berdasarkan laporan, kejadian sekitar pukul 3.00 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menangkap ikan.

Kejadian tersebut tular di media sosial dengan beberapa keping gambar menunjukkan keadaan salah seorang mangsa yang berlumuran darah dipercayai terkena bom buatan sendiri.

Media Baharu