fb fb fb fb fb

Puteri Balqis dakwa jadi mangsa gangguan seksual bapa, perlu ada tindakan sewajarnya - Siti Zailah

(Puteri Balqis)

PASIR MAS, 6 September- Tindakan sewajarnya harus diambil seandainya benar pelakon remaja, Puteri Balqis menjadi mangsa gangguan seksual bapanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihak polis telah menerima laporan mengenai perkara terbabit dan ianya sedang dalam siasatan.

"Saya telah merujuk kepada pihak Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dan mereka telah maklum pada saya, perkara itu sedang dalam siasatan polis. Jadi sekiranya ia benar terjadi, tindakan sewajarnya harus diambil," kata Zailah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak, di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, Kelantan.

Mengulas lanjut beliau berkata, individu yang mengambil sikap berpeluk tubuh daripada melaporkan kes penderaan kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara dan denda selaras pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang diluluskan pada 2016.

Katanya, tiga pihak membabitkan pengamal perubatan, ahli keluarga dan pengasuh wajib melaporkan sebarang kes penderaan terhadap kanak-kanak mengikut Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak pindaan 2016.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya bersama menjalankan tanggungjawab untuk menangani kes penderaan terhadap kanak-kanak.


(Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (kiri) beramah mesra bersama pelajar selepas Majlis Perasmian
Kempen Membanteras 
Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat
Negeri Kelantan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas/BERN
AMA)

Media Baharu